Oleh: Ustaz Zulkifli Mohamed
Sya’ban menurut bahasa berasal dari kata sya’aba, yasy’abu yang artinya berpisah dan bertebaran. Sya’ban adalah bulan kedelapan dari bulan-bulan Qamariyah dan terletak antara bulan Rajab dan Ramadan.
Pada zaman jahiliyah bulan Sya’ban bernama “Adzilan” yang berarti panas. Sebab pada bulan tersebut udara sungguh panas akibat permulaan musim kemarau. Pada zaman sekarang bulan Sya’ban mempunyai kedudukan istimewa di kalangan kebanyakan orang-orang Islam. Di kalangan orang-orang Melayu (yang beragama Islam) bulan Sya’ban disebut juga sebagai bulan Arwah. Ini karena pada bulan Sya’ban inilah ramai di kalangan kita yang membuat ritual kenduri atau tahlilan untuk arwah. Untuk menghidupkan bulan ini ramai muslimin berkumpul di masjid-masjid dan mengisi kegiatan dengan berdoa, berzikir dan ibadah-ibadah yang lain –terutama pada malam Nisfu Sya’ban. Di antara ibadah khusus pada malam Nisfu Sya’ban ialah selepas salat maghrib, akan disambung dengan melaksanakan salat khusus “Salat Nisfu Sya’ban”. Kemudian mereka akan membaca surah atau ayat-ayat yang telah ditentukan dengan suara nyaring. Kemudian mereka akan berdoa dengan doa khusus yang berkaitan dengan upacara Nisfu Sya’ban.
Mereka berkeyakinan bahwa ibadah tersebut dapat panjangkan umur, menghilangkan musibah dan mengharap akan kekayaan. Di antara ibadah-ibadah Nisfu Sya’ban yang dilakukan mereka ialah: Salat Nisfu Sya’ban, Saum Nisfu Sya’ban dan Doa-doa khusus Nisfu Sya’ban. Ketahuilah bahwa ibadat-ibadat tersebut tidak pernah disyariatkan oleh Islam.
Nisfu Sya’ban, Amalan Pembesar Mesir dan Yahudi
Upacara Nisfu Sya’ban banyak ditiru orang, termasuk ramai orang-orang kita yang beragama Islam. Upacara ini sebenarnya direka dan diperbuat oleh para penguasa dan terkemuka. Di Mesir upacara Nisfu Sya’ban ini dilaksanakan oleh para penguasa pada zaman Fatimiyah.
Nisfu Sya’ban dirayakan dengan meriah sekali. Beratus-ratus lilin dinyalakan dan juga beratus-ratus lampu dipasang. Raja dan para ulama serta penghulu juga turut memeriahkannya.
Malah kalau kita telusuri upacara Nisfu Sya’ban ini sungguh tua sekali. Sejak 30 abad sebelum Islam, keyakinan tentang “Pohon Hayat” sudah dikenal sejak zaman Babylon. Dalam riwayat Bani Israil mereka pernah diboyong (dipindahkan) ke Babylon ketika bangsa itu ditaklukkan dahulu kala. Dan “Pohon Hayat” itu dirayakan sebagai hari tanaman; kononnya besamaan dengan itu umur dan rezeki diperbaharui.
Islam datang membawa kebenaran dan hak. Membawa manusia dari kegelapan kepada kemenerangan. Amalan-amalan Nisfu Sya’ban sebenarnya membawa manusia kembali kepada “zulumat”.
Islam adalah agama yang berasaskan fakta-fakta yang sahih. Dan rujukan segala amalan kita ialah al-Quran dan Sunnah Nabi saw.
Benarkah buku amalan ditutup dan dibuka pada malam nisfu sya’ban?
Ramai di kalangan kita berkeyakinan bahwa pada malam Nisfu Sya’ban buku catatan amal kita yang lama akan digantikan dengan buku catatan amal yang baru. Mereka percaya pada malam itu catatan amal akan diserahkan kepada Allah. Justeru itu mereka berkumpul beramai-ramai di masjid-masjid (dengan membawa botol air mereka) untuk membaca surah Yasin dan sebelum nya mengamalkan salat dua rakaat Nisfu Sya’ban. Kemudian mereka akan membaca Yasin tiga kali disertai dengan doa Nisfu Sya’ban. Bacaan Yasin pertama dengan niat memohon tetapkan iman; bacaan Yasin kedua dengan niat murahkan rezeki dan bacaan Yasin yang ketiga dengan niat panjangkan usia.
Amalan-amalan seperti ini tidak pernah dilakukan oleh Nabi saw, para sahabat dan juga ulama-ulama mazhab kita yang terkenal.
Nabi saw bersabda: “Barangsiapa yang mengada-adakan dalam urusan (agama) kami ini suatu pekerjaan yang tiada daripadanya maka (yang diada-adakan) itu tertolak.” (HR Bukhari dan Muslim)
Dan di dalam riwayat Muslim pula, Nabi saw bersabda: “Barangsiapa y ang mengerjakan suatu pekerjaan yang tiada di atasnya urusan kami, maka ia tertolak.”
Menurut Imam Nawawi bahwa pada hadith tersebut terdapat dalil: “Bahwa orang yang mengada-adakan sesuatu dalam agama (bid’ah) yang tidak sesuai dengan syara maka adalah ia berdosa dan amalnya dikembalikan kepadanya.”
Dengan demikian, maka keyakinan tentang tutupnya buku catatan amal kita pada malam Nisfu Sya’ban dan upacaranya adalah takhayul, termasuk aqidah fasidah (keyakinan yang rusak) –yang jelas ianya bertentangan dengan Quran dan Sunnah.
Bulan Sya’ban Bulan Kenduri Arwah?
Ada semacam keyakinan di kalangan masyarakat kita di sini bahwa bulan sya’aban adalah bulan yang dikhususkan untuk melaksanakan kenduri arwah ataupun tahlilan. Maka kita lihat masyarakat kita bersusah payah dan sibuk untuk mengadakan kenduri arwah –seolah-olah ianya suatu kewajipan yang fardhu. Dan masjid-masjid pun sibuk mengedarkan borang ‘tahlilan’ kepada jamaah mereka dan masyarakat umum.
Setiap hajat tentunya disertai dengan derma. Kemudian satu tarikh akan ditentukan di mana akan diadakan majlis kenduri arwah akbar. Setiap nama akan disebutkan pada malam tersebut. Mungkin juga nama nama arwah mereka dipaparkan dengan menggunakan “powerpoint presentation”. Begitulah gigihnya dan semangatnya orang Melayu kita dengan amalan ikut-ikutan mereka.
Mari kita lihat apakah ulama Nusantara kita kata tentang amalan kenduri arwah ini. Sheikh Daud Fatani menulis di dalam kitabnya: “Dan makruh lagi bid’ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia atau kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia dan demikian lagi makruh lagi bid’ah bagi segala yang diseru itu memperkenankan seruannya.”
Berkata Sheikh Arshad Banjari di dalam bukunya Sabilul Muhtadi: “Dan makruh lagi bid’ah bagi yang kematian membuat makanan dan diserukan kepada manusia atau memakan dia dahulu menanam dia dan kemudian daripada nya seperti yang telah diadatkan makruh lagi bid’ah bagi segala yang diseru memperkenan serunya.”
Namun hakikatnya amalan kenduri arwah ini memang susah untuk dibasmikan selagi mana pihak-pihak yang mengamalkan mempunyai kepentingan-kepentingan mereka. Tidak ada kepentingan yang lebih daripada memartabatkan Quran dan Sunnah.
Hadis-hadis Berkenaan Nisfu Sya’ban
Ulama Ahli ta’dil dan tarjih menyatakan: “Tidak ada hadis yang sah tentang malam nisfu sya’ban dan tidak benar datangnya dari Nabi saw dan para sahabatnya dan tidak benar bahwa ulama salaf yang solih berkempul untuk membaca doa Nisfu Sya’ban.”
Hadis 1
“Apabila datang Nisfu Sya’ban orang tidak akan mati antara Maghrib dan Isyaa sebab malakal maut sedang sibuk menerima surat-surat berharga dari Allah. Malam itu dinamakan pula “Lailatut Takfir” yakni malam penghapusan dosa.” Hadis diriwayatkan oleh Ishaq bin Rahwah. Hadis ini adalah palsu.
Hadis 2
"Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia pada malam Nisfu Sya’ban kemudian mengampuni dosa-dosa yang lebih banyak daripada bulu domba Bani Kalb." (HR Tirmizi dan Ibn Majah dari Hajjaj bin Arthah). Imam Tirmizi berkata beliau mendengar Imam Bukhari mendoifkannya.
Hadis 3
"Apabila malam Nisfu Sya’ban maka salatlah pada malamnya dan shaumlah pada siangnya." (HR. Ibn Majah). Hadis ini Dhoif
Hadis 4
“Apabila malam pertengahan (tiba) pada bulan Sya’ban, maka berdirilah kalian (melaksanakan salat) pada malam harinya dan shaumlah kalian pada siang harinya.” (HR Ibn Majah dari Ali bin Abi Talib). Hadis ini dhaif.
Dakwah Nisfu Sya’ban
Apakah hukum dan dari manakah asalnya amalan membaca Yasin tiga kali pada malam Nisfu Sya’aban?
Amalan nisfu sya’ban adalah suatu perayaan yang direka berdasarkan nas-nas yang lemah dan mardud (tertolak). Inilah pendapat majority ulama seperti Prof Dr Yusof Qardhawi (fatawa mu’asirat), Sheikh Sayyid Sabiq (fiqh sunnah), Prof. Mutawalli Sya’rawi (anta tasal), Dr. Abdul Karim Zaidan (al-mufassal) dan Prof. TM Hasbi Assiddqui (sunnah dan bid’ah).
Amalan membaca Yasin tiga kali pada malam nisfu sya’ban adalah bid’ah. Amalan nisfu sya’aban adalah adat Melayu dan bukan acara yang disyariatkan.
Adakah keistimewaan dan kelebihan hari atau malam nisfu sya’aban?
Tidak ada fadilat malam/siang nisfu sya’ban. Malam yang diagung-agungkan itu sebenarnya malam lailatul Qadr saja.
Takkanlah dengan membaca Yasin boleh mendatangkan bid’ah?
Kitab-kitab fatwa dan lelaman web antaranya Islam Online, kitab Prof. Dr. Yusof Qardhawi (fatawa mu’asirat), Lujnah Daimah Arab Saudi, Lujnah Fatwa Al-Azhar, Sayyid Sabiq (fikh sunnah) – kesemuanya mengatakan tidak bid’ah baca Yasin. Ia menjadi bid’ah bilamana dikaitkan dengan peristiwa dan malam-malam tertentu. Dan Nabi saw sendiri tidak membaca Yasin tiga kali.
Benarkah pendapat yang mengatakan pada malam nisfu sya’aban catatan amalan untuk tahun lalu dibawa ke langit dan buku baru akan dibuka?
Pendapat tersebut dhaif.
Mengapakah Nisfu Sya’ban di besar-besarkan?
Ia adalah malam dilahirkan Imam al Mahdi Syiah Imamiyah. Bagi mereka ia adalah malam yang penuh berkat. Nisfu Sya’aban dipertahankan oleh orang sufi dengan membawa pelbagai hadis yang palsu. Tanpa disedari mereka telah merayakan malam kelahiran al Mahdi Syiah Imamiyah.
*) Tulisan ini sebelumnya dimuat di Majalah Tajdid Suara Muhammadiyah edisi Sya’ban 1430H/Ogos 2009 yang diterbitkan oleh Muhammadiyah Association of Singapore
Izin share min...
BalasHapusSilakan dishare sebanyak-banyaknya dengan tetap mencantumkan sumbernya. Barakallahu fiik...
Hapus